Header

Pihak bantah kerjasama PAS-Umno ‘macam Yahudi’, boleh pergi jahanam


Presiden PAS Abdul Hadi Awang dilapor menyamakan pihak yang membantah kerjasama partinya dan Umno dengan “Yahudi”.

Hadi membuat persamaan itu ketika menegaskan bahawa kerjasama PAS dan Umno adalah untuk menyelamatkan negara.

“Lepas itu bila Umno-PAS hendak bersatu, dituduh macam hendak berperang dengan kaum lain. Ini lagi teruk. Macam orang Yahudi yang tidak mahu orang Islam bersatu masa zaman nabi.

“Inilah penyakit yang mesti kita lawan. Mari kita bersatu padu, biar musuh pergi jahanam,” katanya seperti dilapor The Malaysian Insight.

Beliau dilapor berkata demikian dalam program Pidato Himpunan Ummah Selangor di Sabak Bernam malam tadi.

Meskipun tidak menyebutkan nama tertentu, Hadi dipercayai menujukan kenyataan itu kepada pemimpin DAP.

Awal bulan lalu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam kenyataan asalnya menggesa MCA meninggalkan BN menyifatkan bahawa Umno dan PAS “mengisytiharkan perang” terhadap masyarakat bukan Melayu.

Lim kemudiannya mengubah kenyataannya itu dan frasa “pengisytiharan perang” ditukar kepada “menyasarkan”.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming pula sebelum ini menyifatkan kerjasama PAS dan Umno yang sedang berlangsung kini akan membawa negara ke arah pemerintahan ala “Taliban”.

Sementara itu, menyentuh dakwaan Nga, Hadi berkata terdapat perbezaan yang besar corak pemerintahan di Afganistan dan Malaysia.

“Taliban ini pakai Mazhab Hanafi, orang perempuan tidak boleh mengaji sekolah, tiada pilihan raya. Kita PAS buka sekolah, masuk pilihan raya, lain. Tidak betul banding dengan Taliban,” katanya.
Hadi berkata orang bukan Islam tidak perlu risau dengan kerjasama Umno dan PAS kerana Islam mengajar umatnya untuk berlaku adil dengan semua kaum.

“Sekarang timbul kesedaran yang mewajibkan umat Islam perlu bersatu. Pas-Umno perlu bersatu dan orang bukan Islam jangan takut. Kami adil untuk mereka. Dalam sejarah dunia yang mampu menyatukan masyarakat majmuk hanya Islam.

“Sebab itu kita hendak menyatukan orang Islam dulu. Masyarakat lain jangan bimbang, kita tidak ketepikan. Hendak selesaikan masalah negara orang Melayu mesti kuat,” katanya.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.