Tegas tangani isu keselamatan awam dan pekerja
DPPM mengambil maklum kejadian dinding parapet jatuh ke atas kereta bergerak di tapak projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE):
“Laa dharara wa laa dhirara”
“Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”
(Hadis Riwayat Sa’d bin Malik)
Nabi mengajar kita agar tidak melakukan perbuatan yang boleh memudaratkan diri kita serta orang lain. Secara tidak langsung, jelas bahawa Islam meminta kita melaksanakan sesuatu pekerjaan atau tugasan dengan penuh kualiti dan teliti agar sebarang kemudaratan turut dapat dielakkan.
Setiap sektor mempunyai cabaran dan risiko yang tersendiri. Sebagai seorang yang terlibat di dalam Industri Minyak dan Gas, sektor ini antara yang mengambil berat dan serius mengamalkan cara kerja yang selamat dengan tahap keselamatan yang tinggi. ‘Best Industry Practice’ ini dimulai dengan perancangan perincian gerak kerja untuk seluruh tugasan-tugasan yang dilaksanakan sama ada rutin atau bukan rutin. Kesemua tugasan perlu mendapat permit dari pihak yang bertanggungjawab sebelum sesuatu kerja itu dilaksanakan.
Segala ‘hazard’ atau risiko bahaya di dalam setiap perincian langkah tugasan akan dikenal pasti dan diikuti dengan langkah-langkah pencegahan yang dapat meminimumkan risiko melalui JHA (Job Hazard Analysis) atau TRA (Task Risk Assessment). Sekiranya sesuatu tugasan itu didapati berisiko tinggi dan kompleks, maka satu penilaian terhadap risiko bahaya, RA (Risk Assessment) akan dibincangkan oleh SME (Subject Matter Expert & Technical Authority) yang terdiri daripada pakar-pakar di dalam bidang tersebut.
Hasil perbincangan seterusnya diangkat untuk kelulusan dari pihak pengurusan tertinggi di dalam organisasi mengikut tahap risiko itu. Semua ini akan dirangkumkan di dalam Permit Tugasan (Work Permit) sebelum sesuatu kerja boleh dilaksanakan.
Jika berlaku sebarang insiden di tapak kerja, penyelia kerja perlu melaporkan dan memaklumkan dengan serta merta kepada pihak berkuasa pelantar atau loji. Setiap pelantar dan loji minyak dan gas akan mempunyai TRT (Tactical Response Team) untuk menangani insiden di tapak mengikut prosedur TRP (Tactical Response Plan). Bantuan seterusnya dari pengurusan dalam bentuk IMT (Incident Management Team) pada insiden memerlukan bantuan pada tahap kedua (Tier 2).
Dalam kejadian di tapak projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) tempoh hari, walaupun Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah melakukan tinjauan keselamatan serta menilai pelaksanaan tanggungjawab di semua peringkat termasuklah tindakan segera Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dalam mengeluarkan perintah berhenti kerja segera pada pemasangan tembok parapet, tindakan yang lebih tegas perlu diambil bagi melindungi orang awam.
Menurut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994), menjadi tanggungjawab majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pekerjanya serta orang awam pada waktu bekerja. Antara perkara penting yang lain ialah;
“Majikan mempunyai kawalan penuh terhadap setiap aktiviti di tempat kerja, termasuk melakukan analisis risiko dan juga rancangan kawalan risiko yang efektif, sebelum membiarkan staf mereka melakukan apa-apa aktiviti kerja.”
Perlu diingat, dinding parapet yang jatuh ke atas kereta bergerak dapat dihindari jika semua pihak yang terlibat mematuhi sistem kerja dan prosedur yang betul berdasarkan panduan yang disetujui dan wajib mematuhi spesifikasi dan kontrak.
Inilah antara praktis keselamatan yang diamalkan di dalam industri. Menunjukkan betapa aspek keselamatan merupakan hal yang sangat kritikal kerana berpotensi melibatkan korban nyawa selain menjejas kepercayaan terhadap sesebuah syarikat itu sendiri.
Maka, DPPM memandang serius perkara ini dan akan memanjangkan kepada pihak berwajib agar tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan. Kita tidak mahu keselamatan pekerja dan rakyat tergadai.
IR. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN,
Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 21/9/2020
______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
Post a Comment