Header

Jangan ulang fitnah: Amaran Asyraf pada pegawai Yadim


Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi amaran supaya fitnah dilemparkan terhadapnya, yang menuduh beliau menyalahgunakan wang RM5 juta milik Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), tidak diulangi.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, kenyataan fitnah berkaitan salah guna wang organisasi adalah sesuatu yang amat serius dan tidak boleh sewenang-wenangnya dikeluarkan untuk memuaskan amarah diri.

Justeru, beliau mengingatkan jika tuduhan fitnah itu berulang, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan yang berkaitan dengan reputasi dan maruah dirinya.

“Saya percaya YDP YADIM (Nik Omar Nik Abdul Aziz) sebagai anak bekas ulamak dan Tok Guru tersohor tidak akan membenarkan Pegawai Khasnya sesuka hati menabur fitnah,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tuduhan pengguna Facebook yang menggunakan nama ‘Farisul Islam’ yang menuduhnya meminta wang sebanyak RM5 juta untuk tujuan politik di Pasir Puteh, Kelantan.

Asyraf Wajdi turut memuat naik tangkapan skrin kiriman Farisul Islam dan ‘Ana Tahu’ dalam Facebook beliau.





Farisul Islam dalam kenyataannya berkata:

“Hang minta duit 5 juta bina anak muda kerja utk karier politik hang kat Pasir Puteh, claim sorang-sorang puluh-puluh ribu sebulan. Last sekali hang kata orang buat kerja utk mengembalikan peranan agensi dakwah tu utk kepentingan politik. Ini pemegang Doktor Falsafah paling sampah di Malaysia. Siapa lagi kalau bukan Ketua Pemuda UMNO. Sekian.“


Ketika tangkapan skrin dibuat di laman Facebook Farisul Islam, 66 pengguna, termasuk Ana Tahu, telah berkongsi kiriman itu.

Bagaimanapun, kedua-duanya – Farisul Islam dan Ana Tahu – telah memadam kenyataan berkenaan, tanpa memohon maaf membuat tuduhan itu atau meminta mereka yang turut berkongsi supaya memadamnya.

“Terima kasih kepada Farisul Islam kerana telah memadamkan kenyataan fitnah terhadap saya dengan dakwaan kononnya saya merembat (mencuri atau merompak) atau menyalahgunakan wang RM5 juta milik YADIM.

“Walaupun tidak sampai 24 jam dimuatnaik di Facebook beliau, saya percaya kenyataan fitnah tersebut sudah tular di beberapa laman FB seperti Ana Tahu yang turut berkongsi status beliau itu.

“Namun atas nama persaudaraan Islam, saya menganggap fitnah tersebut sekadar kenyataan beremosi saudara Farisul yang juga merupakan salah seorang pegawai baharu yang diambil di bawah pejabat YDP YADIM dan mungkin terkesan dengan pendedahan saya sebelum ini,” kata Asyraf Wajdi.

Ketua Pemuda UMNO itu berkata, teguran ikhlas beliau sebelum ini sepatutnya diambil secara positif untuk memperbetulkan apa juga kelemahan urus tadbir organisasi demi kelangsungan Yadim yang sudah menjangkau umur 45 tahun di persada dakwah tanah air.

“Nampaknya Page Ana Tahu pun dah padamkan posting fitnah tersebut. Hmmm…pengajaran buat semua agar jangan mudah menfitnah dengan harapan boleh dapat dividen politik. Kerajaan yang naik dengan fitnah kelak akan jatuh dengan fitnah mereka sendiri,” katanya.

Jumaat lalu, Asyraf Wajdi mendedahkan isu terbaharu Yadim, di mana beliau mendakwa diberitahu bahawa yayasan itu terpaksa menanggung kos emolumen yang tinggi, kerana pengambilan ramai kakitangan baharu untuk pejabat Ustaz Nik Omar, yang terdiri daripada orang parti.

“Lebih membimbangkan jika Yadim terpaksa menggunakan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk menanggung segala kos tambahan ini kerana peruntukan kerajaan kepada Yadim adalah amat terhad,” katanya. - ISMA WEB



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.