Header

Jabatan Peguam Negara gugur tuduhan ke atas Goldman Sachs, kes Ng diteruskan


KUALA LUMPUR:
Jabatan Peguam Negara hari ini menggugurkan pertuduhan jenayah terhadap Goldman Sachs dan entitinya di Asia berkaitan 1MDB, tetapi dakwaan terhadap bekas pengurusnya, Roger Ng diteruskan.

Kerajaan mendakwa Goldman Sachs dan entitinya di Ais mengeluarkan fakta material dalam pengumpulan bon AS$6.5 bilion untuk pembelian loji jana kuasa bebas 1MDB dan projek Tun Razak Exchange serta Bandar Malaysia.

Timbalan Pendakwa Raya, Masri Daud memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, pertuduhan itu digugurkan dalam sebutan kes pagi ini.

“Pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan pertuduhan yang difailkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan terhadap mereka.”

Peguam Hisyam Teh yang mewakili Goldman Sachs dan entiti Asianya, memohon mahkamah memberi perintah lepas dan bebas kepada anak guamnya, yang kemudiannya dipersetujui mahkamah.

Kerajaan dan Goldman Sachs sebelum ini berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan tuntutan berkaitan pengeluaran bon itu.

Goldman Sachs akan membayar AS$3.9 bilion sebagai penyelesaian kepada kerajaan.

Minggu lalu, AS$2.5 bilion daripada jumlah yang dipersetujui itu dibayar kepada kerajaan dalam akaun eskrow.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan hari ini berkata, mereka akan meneruskan pertuduhan terhadap Ng.

Bekas pengurus Goldman Sachs itu kini berada di New York, di mana beliau didakwa bersubahat atas pengubahan wang dan merasuh pegawai kerajaan di sini serta Abu Dhabi melalui penawaran bon yang dikendalikan Goldman Sachs.

Beliau diekstradisi dari Kuala Lumpur ke New York tahun lalu.

Zaini menetapkan 10 Sept untuk sebutan kes Ng.

Ng, yang menghadapi 4 pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs dalam mengeluarkan fakta material berhubung penjualan bon bernilai AS$6.5 bilion, diwakili peguam Tan Hock Chuan. - FMT

______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.