Header

Keluar Parti: Amanah Tidak Kurang Kekuatan Dan Tetap Teguh Pada Prinsip


1. Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Selangor mengambil maklum mengenai segelintir ahli di kawasan Kota Raja yang telah mengambil tindakan keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

2. Perkara ini telah mendapat liputan media pada 4 September 2020 yang lalu yang difahamkan bahawa tindakan tersebut diketuai oleh Jaafar Samsudin yang merupakan mantan Naib Ketua 3 AMANAH Kawasan Kota Raja yang kononnya telah membawa keluar seramai 545 orang daripada AMANAH.

3. Walaubagaimanapun, melalui satu liputan media bertarikh 5 September 2020 pula, Jaafar yang juga merupakan mantan Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Negeri telah memohon maaf atas kesilapan angka tersebut dan menyatakan bahawa jumlah ahli AMANAH yang telah keluar daripada parti adalah hanya seramai 85 orang.

4. AMANAH Selangor ingin menegaskan bahawa tindakan keluar parti adalah lumrah dalam mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan tindakan tersebut langsung tidak melemahkan AMANAH sebagai parti komponen Pakatan Harapan yang pada ketika ini mentadbir negeri Selangor.

5. Walaubagaimana pun AMANAH Selangor ingin menegur tindakan kurang bijak mereka kerana membelakangi prinsip perjuangan menentang kezaliman dan penyelewengan yang sekian lama diperjuangkan dan menyertai parti yang bersama dengan Umno dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya yang jelas bercanggah dasar perjuangan mereka. Justeru itu amat malang orang lama seperti Jaafar bertindak sedemikian dan sekali gus menggadaikan segala prinsip dan asas perjuangannya selama ini.

6. Selain daripada itu, AMANAH Selangor juga masih keliru dengan angka 85 orang ahli yang keluar parti sepertimana yang telah dilaporkan oleh media tersebut kerana siasatan mendapati tidak sampai 10 orang ahli yang disahkan berbuat demikian.

7. Hakikat ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan yang dibuat oleh pimpinan AMANAH Kota Raja semasa sidang media mereka pada 4 September 2020 iaitu dalam pengetahuan parti, jumlah ahli yang telah keluar parti hanyalah seramai 5 orang sahaja dari keseluruhan 2,200 orang ahli. Semua 32 cawangan masih tetap utuh menyokong kepimpinan sedia ada.

8. Selaras dengan itu, AMANAH Selangor menyeru agar setiap isu atau perbezaan yang ada seharusnya ditangani dengan penuh muhibbah, mengikut disiplin parti serta menjaga prinsip perjuangan dan bukannya dengan cara memberikan kelebihan kepada lawan.

9. AMANAH Selangor ingin sekali lagi menegaskan komitmen kami yang tidak berbelah bagi dalam memperkasakan PH dan bersama dengan sesiapa saja yang menyokong agenda reformasi dan transformasi negara.

YB Ir Izham Hashim,
Pengerusi
Parti Amanah Negara (AMANAH)
Negeri Selangor

______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.