Header

MCA usah menari ikut gendang DAP nasihat PAS


"MCA usah menari ikut rentak DAP," itulah nasihat PAS melalui timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man kepada MCA dalam mengulas isu pergolakan dalaman BN.

Menegaskan tidak berhasrat campur tangan terhadap urusan dalaman BN, Tuan Ibrahim bagaimanapun berkata MCA perlu melihat muafakat demi kepentingan bersama.

"Sepatutnya dalam muafakat pembangkang, MCA perlu lihat kepentingan bersama menguatkan suara pembangkang.

"MCA tak perlu menari mengikut (rentak) gendang DAP," katanya ringkas kepada Malaysiakini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu MCA dan MIC sedang melihat pelbagai kemungkinan dalam menentukan langkah mereka dalam pentas politik mutakhir ini.

Malaysiakini memetik sumber semalam melaporkan, antara cadangan yang dibincangkan kedua-dua parti itu ialah menyingkirkan Umno daripada BN.

Sebelum itu MCA dan MIC mengeluarkan kenyataan bersama untuk memaklumkan rancangan mereka meninggalkan BN dan meneroka idea membentuk pakatan baru.

Ia susulan sikap membisu berterusan Umno mengenai kenyataan perkauman daripada parti itu.

Sementara itu Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata dalam isu tersebut terpulang kepada Umno untuk mengendalikan situasinya sebaik mungkin.

"Saya melihat dari luar bahawa usaha yang dibuat oleh MCA atau MIC itu hanyalah sekadar untuk menarik semula sokongan bukan Islam dan bukan Melayu.

"Ia tidak akan menjejaskan kekuatan asal Umno yang pada hari ini bergantung kepada undi orang Melayu. Saya berharap ia memberi kebaikan kepada PAS sendiri dalam aspek bekerjasama dengan Umno selepas ini," katanya yang juga anggota parlimen Pasir Mas.



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.