Header

Saifuddin akui timbalannya lakukan kesilapan isu Veveonah


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengakui tindakan timbalannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin adalah satu kesilapan.

Ia berhubung kenyataan Zahidi pada perbahasan di Dewan Negara bahawa remaja dari Pitas, Sabah, Veveonah Mosibin tidak menjalani peperiksaan ketika mencari capaian internet di atas pokok yang kisahnya tular baru-baru ini.

Menurutnya, Zahidi akan memperbetulkan kenyataan yang telah tercatat di dalam hansard itu apabila hadir ke Dewan Negara.

"Pada saya itu adalah satu kesilapan dan beliau telah pun memohon maaf," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Tanjak Merdeka di kementeriannya di sini hari ini.

Pada perbahasan itu, Zahidi yang menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin menyifatkan rakaman video Veveonah sekadar dilakukan hanya bertujuan hiburan dan menaikkan 'viewer' rancangan YouTube.

Beberapa jam selepas itu, Ahli Parlimen Padang Besar berkenaan memohon maaf terhadap Veveonah dan memberitahu beliau mendapat maklumat tidak tepat berhubung perkara tersebut.

Pada perkembangan sama, Saifuddin berkata, kerajaan sedang merancakkan migrasi rangkaian 2G dan 3G kepada 5G di kawasan luar bandar seluruh negara termasuk Sabah.

"Ia merangkumi dua fasa dan kita sedang pertingkatkannya," katanya. - SH

______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.