Header

Politik wang: Asyraf Wajdi pelawa Syed Saddiq sertai Pemuda Umno


PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki mempelawa bekas ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyertai sayap tersebut jika benar ahli Parlimen Muar itu meninggalkan Dr Mahathir Mohamad dan PPBM kerana budaya politik wang.

“Oh, rupanya salah satu punca Syed Saddiq tinggalkan Tun M dan PPBM kerana budaya politik wang yang membarah. Kalau macam tu jom sertai Pemuda Umno!,” kata Asyraf Wajdi di Facebooknya hari ini.

Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, tempoh 22 bulan berperanan sebagai pembangkang banyak mengajar Pemuda Umno dalam fasa pemulihan gerakan itu.

“Proses penyaringan dan penyucian semula jadi berlaku apabila Umno hilang kuasa. Yang mengejar projek dan memperhitungkan wang lebih dahulu meninggalkan wadah kononnya atas nama ‘berhijrah’.

“Yang tinggal terus bermuhasabah, melakukan koreksi diri dan sama-sama membangunkan kembali wadah dengan wajah dan iltizam baru untuk menanggalkan budaya lama yang bobrok demi sebuah perjuangan,” katanya.

Bagaimanapun pelawaan itu mendapat tentangan daripada pengikut beliau yang menyifatkan kemasukan Syed Saddiq dalam Pemuda Umno ibarat meletakkan najis di dalam pewangi.

Malah, pengikut dengan nama Rofiah Fi menyifatkan Syed Saddiq sebagai “hati tisu” dan akan memalukan kepimpinan pergerakan Pemuda Umno sebagai pejuang setia yang sejati.

Dalam wawancara dengan portal berita tempatan baru-baru ini, Syed Saddiq mengakui rampasan kuasa politik melalui “langkah Sheraton” dan amalan politik wang dalam PPBM menjadi pendorong gerakan politik barunya.

Bagaimanapun pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mahathir hari ini mendakwa langkah Syed Saddiq menubuhkan parti berasaskan golongan anak muda itu tidak akan berjaya.

Mahathir dilaporkan berkata, model yang dibawa oleh beliau tidak sesuai dalam arena politik tanah air.

______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.