Header

Kami mungkin muda, tapi kami sayangkan Malaysia, Syed Saddiq jawab Mahathir


KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir Mohamad susulan kritikan bekas perdana menteri berhubung hasratnya menubuhkan parti baru untuk orang muda.

Syed Saddiq berkata, beliau menerima kritikan itu dengan hati terbuka, walaupun kritikan berkenaan dilontarkan oleh pemimpin yang disanjungnya sewaktu berada dalam PPBM.

“Kami terima kritikan dengan hati yang terbuka. Parti ini adalah parti yang akan diketuai oleh orang muda untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Majoriti yang akan memimpin adalah golongan teknokrat, profesional, usahawan, petani model, pemimpin masyarakat sivil dan lain-lain. Kami mungkin muda, tetapi kami sayangkan Malaysia,” katanya di Twitter, hari ini.

Terdahulu Mahathir berkata, beliau tidak yakin parti baru berasaskan orang muda ditubuhkan Syed Saddiq itu akan berjaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, walaupun tidak dinafikan Malaysia adalah sebuah negara demokrasi, namun usaha mendapatkan sokongan orang muda sahaja tidak memadai memandangkan terdapat pelbagai peringkat usia dalam sesebuah Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

Menurut Mahathir, beliau mempunyai hubungan baik dengan Syed Saddiq dan tidak ada masalah untuk bekerjasama jika matlamat parti yang ditubuhkan bekas menteri itu adalah untuk menghapuskan rasuah.

Syed Saddiq sebelum ini berkata, beliau tidak akan menyertai Pejuang yang ditubuhkan oleh Mahathir kerana mahu memperkasakan golongan muda dan mempromosikan Malaysia yang lebih berbilang kaum.

Katanya, beliau juga berhasrat mahu menamatkan politik wang dan memecahkan status quo politik serta memberi lebih banyak suara kepada golongan muda.

Syed Saddiq adalah ketua Pemuda PPBM dan menteri belia dan sukan sehingga pergolakan dalaman PPBM menyebabkan beliau keluar parti itu bersama-sama Mahathir dan beberapa ahli Parlimen parti itu yang lain.


______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.