Muhyiddin bakal buat penampilan sulung sebagai Perdana Menteri di UNGA
PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal membuat penampilan sulung sebagai Perdana Menteri Malaysia pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), menerusi ucapan dalam video yang diprarakam untuk mesyuarat peringkat tinggi di New York pada lewat hari ini.
Kementerian
Luar (Wisma Putra) dalam kenyataannya berkata, Muhyiddin pada mesyuarat
bersempena ulang tahun ke-75 UNGA itu akan membuat penegasan berhubung
sokongan berterusan Malaysia terhadap peranan utama Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Muhyiddin
akan menggariskan perubahan yang perlu diambil PBB bagi memastikan
pertubuhan itu kekal relevan dalam menangani cabaran-cabaran global masa
kini," kata Wisma Putra.
Menurut
kenyataan itu, mesyuarat peringkat tinggi sehari tersebut dijangka
menerima Deklarasi Memperingati Ulang Tahun Ke-75 PBB.
"Deklarasi
itu mengisyaratkan komitmen kolektif negara anggota terhadap
multilateralisme dan untuk merangsang perkongsian dalam kalangan
komuniti dalam merealisasikan dan menyelesaikan keperluan paling
penting," demikian menurut kenyatan itu.
Mesyuarat
peringkat tinggi itu akan memberi peluang kepada pemimpin dunia untuk
bekerjasama melaksanakan matlamat PBB seperti yang termaktub dalam
Piagamnya yang ditandatangani di San Francisco pada 26 Jun 1945.
Piagam
itu menuntut PBB mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa,
menganjurkan kemajuan masyarakat serta standard kehidupan yang lebih
baik, mengukuhkan undang-undang antarabangsa dan mempromosikan hak-hak
kemanusiaan.
Wisma Putra berkata, mesyuarat itu akan disusuli sesi debat umum yang dijadualkan bermula esok hingga 29 September.
Debat umum itu akan dipengerusikan oleh Presiden Sesi ke-75 UNGA Volkan Bozkir dari Turki di bawah tema "The
future we want, the United Nations we need: reaffirming our collective
commitment to multilateralism - confronting COVID-19 through effective
multilateral action."
Wisma Putra berkata Muhyiddin dijadual menyampaikan pendirian Malaysia pada debat umum itu 26 September ini. - BERNAMA
______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
Post a Comment