Header

Hala tuju parti agenda utama muktamar PAS


KUALA LUMPUR:
Agenda utama Muktamar PAS ke-66 pada 13 September ini, dijangka hanya menyentuh mengenai ucapan dasar Presiden berhubung hala tuju dan masa depan parti selepas menjadi sebahagian kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata, memandangkan muktamar kali ini berlangsung hanya sehari maka sudah tentu tumpuan kepada ucaptama Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, memandangkan muktamar itu diadakan dalam waktu terhad hanya sehari berbanding tiga hari sebelum ini, maka rata-rata perwakilan sudah pasti mahu mendengar amanat Presiden berhubung masa depan parti.

"Saya kira isu lain turut akan disentuh mengenai panduan kerja parti yang ingin diketahui perwakilan selepas parti ini menjadi sebahagian daripada kerajaan PN.

"Turut diberi penekanan mengenai isu berkaitan PN dan Muafakat Nasional berikutan perubahan daripada pembangkang kepada kerajaan," katanya kepada BH dihubungi hari ini.

Muktamar PAS kali ke-66 diadakan di Kelantan yang turut akan disiarkan secara langsung dalam media sosial bagi membolehkan seluruh ahli parti itu mengikutinya.

Muktamar kali ini juga bersamaan dengan setahun usia Muafakat Nasional selepas dimeterai pada 14 September tahun lalu.

Dijangka 300 perwakilan hadir pada muktamar berkenaan berbanding 1,200 peserta sebelum ini. - BH


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.