Header

GBS, PN yakin tawan kubu kuat Warisan- Hajiji


TUARAN:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yakin Gabungan Rakyat Sabah (GBS) dapat menawan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14).

Katanya, GBS yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) juga dijangka dapat mempertahankan kawasan-kawasan yang telah dimenangi dahulu.

Beliau berkata, ini berdasarkan angin perubahan dari segi sambutan dan sokongan yang diterima oleh GBS terutama PN di kawasan-kawasan yang dahulunya kubu kuat Warisan.

“Insyallah, kita akan menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) kerana kita dapat lihat  sambutan yang diterima di kawasan-kawasan tertentu yang dahulunya dimenangi oleh Warisan begitu memberangsangkan, kita dapat rasakan banyak perubahan.

Jadi, Insyallah, kita akan dapat mengambil alih atau menang di kawasan-kawasan tersebut dan seterusnya menubuhkan kerajaan baru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita ketika diminta mengulas tentang peluang PN and GBS secara keseluruhannya pada PRN kali ini, selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Lok Nunuk di sini, pada Isnin.

Hajiji yang bertanding atas tiket PN di DUN Sulaman juga yakin rakyat di kawasan-kawasan tersebut sudah dapat menilai apa yang berlaku selama dua tahun di bawah pemerintahan Warisan Plus

“Rakyat menganggap bahawa Kerajaan Warisan gagal melaksanakan tugas mereka kepada rakyat, sehingga ekonomi begitu jatuh jauh merundum dan pentadbiran kerajaan negeri pun nampak tidak menentu.

“Ini telah menjadi penilaian rakyat. Jadi saya yakin dalam PRN kali ini mereka akan ubah balik kerajaan. Ini keyakinan saya bersama dengan GBS. Insyallah, kita akan menang dalam PRN ini,” kata Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah.

Mengulas mengenai para penyokong dan pengundinya di Kampung Lok Nunuk,  beliau menganggap penduduk kampung itu sebagai penyokong tegarnya.

“Banyak pembangunan yang telah saya bawa ke kampung itu dan saya penuh yakin mereka akan memberikan undi dan sokongan kepada saya pada PRN kali ini.

“Saya akan melakukan yang terbaik dan akan cuba membawa keperluan-keperluan dan juga pembangunan yang masih diperlukan kepada mereka di sini.

“Banyak lagi keperluan-keperluan seperti jeti, bekalan air graviti dan sebagainya yang menjadi keutamaan mereka dan saya berjanji kepada mereka kita akan laksanakan bila kita telah menang,” katanya.-pr/BNN




______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.