Header

Calon Bumiputera Islam LDP di Bongawan berdepan tugas mencabar


KOTA KINABALU:
Calon Parti Liberal Demokratik (LDP) di kerusi Bongawan pada Pilihan Raya Negeri Sabah, Mohd Azree Abd Ghani mahu mengubah pandangan orang ramai terhadap parti itu kerana ia bukan parti kaum Cina.

Walaupun sedar tugas berat menanti beliau sebagai calon Bumiputera Islam daripada LDP, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus menyebarkan ideologi sebenar LDP sebagai parti untuk semua kaum.

Azree, 29, berkata LDP tidak berpeluang bertanding di kawasan bukan majoriti Cina ketika bersama Barisan Nasional.

“Sistem pengagihan kerusi diamalkan BN yang menyebabkan LDP dilihat sebagai parti untuk masyarakat Cina kerana ia hanya diperuntukkan kerusi di kawasan ramai pengundi Cina.

“Oleh sebab LDP tidak lagi bersama BN, maka kepimpinannya membuat keputusan mengembalikan konsep asal parti itu dan meluaskan kawasan untuk bertanding, termasuk di kerusi majoriti Bumiputera Islam dan kerusi Kadazandusun Murut (KDM),” katanya ketika dihubungi FMT.

Katanya, beliau mahu bertanding atas tiket LDP pada PRN Sabah kali ini kerana tertarik dengan pendiriannya menjadi parti bebas yang tidak bergabung atau menyertai mana-mana pakatan dan berpeluang melebarkan sayapnya di semua kerusi dipertandingkan.

“Saya juga memilih LDP kerana kali ini ia menampilkan Presiden Kehormat Seumur Hidup, Chong Kah Kiat sebagai ketua dalam misi ‘now or never’ ini.

“Ini adalah misi menyelamatkan Sabah, misi yang sukar, tetapi bukan sesuatu yang mustahil kerana misi yang dibawa LDP akan memberi manfaat dan masa depan jelas kepada Sabah.”

Anak jati Bongawan itu berkata, bukti kepimpinan Chong dapat dilihat ketika beliau menjadi ketua menteri dari 2001 hingga 2003 dan menteri Kabinet.

“Banyak perubahan dilakukan untuk kebaikan Sabah dan yang paling jelas ialah usaha memerangi pendatang asing tanpa izin, menyelesaikan masalah setinggan, menghentikan penggunaan bot pam dan pelbagai isu yang boleh mengancam kedaulatan negara.

“Beliau sudah bersara 13 tahun dalam arena politik, tetapi disebabkan desakan, permintaan serta rayuan masyarakat akar umbi berbilang kaum yang memohon beliau keluar sekali lagi untuk menyelamatkan Sabah daripada sistem rosak.

“Saya berbangga dan bersyukur diberikan peluang untuk membawa bendera dan lambang LDP di kawasan Bongawan, dan saya akan melakukan yang terbaik pada PRN nanti.”

Keputusan LDP meletakkan Azree di Bongawan menjadi sejarah buat parti itu yang pertama kali bertanding di kawasan berkenaan.

LDP dijangka menurunkan calon di beberapa kawasan majoriti Bumiputera Islam dan KDM lain pada PRN Sabah 26 Sept ini.

Sebelum ini, LDP hanya bertanding di kerusi Tanjung Kapor, Sembulan, Merotai, Tanjung Papat dan Karamunting.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, calon Warisan, Daud Yusof memenangi kerusi Bongawan selepas menewaskan 2 calon lain, termasuk Mohamad Alamin daripada BN dengan majoriti 795 undi.




______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.