Header

Anwar kempen di semua 7 kerusi PKR dalam sehari


Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini mengadakan siri jelajahnya di kesemua tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah, dalam masa satu hari.

Berdasarkan jadual jelajah Anwar ke Sabah hari ini, anggota Parlimen Port Dickson itu memulakan jelajahnya dengan ceramah perdana bersama rakyat di Sook dan Klias.

Dia kemudian beralih ke kerusi DUN Matunggong dan Tempasuk petang ini untuk sesi santai.


Ketika melintasi utara Sabah, Anwar juga turut berkongsi perkembangannya di media sosial.

"Di acara ceramah perdana di DUN Sook pagi tadi. Saya sebut bahawa negeri ini negeri kaya dan tak sepatutnya rakyat hidup dalam kemiskinan," katanya dalam catatan di Twitter.

Sook adalah kerusi majoriti bumiputera bukan Islam.



Anwar hadir untuk berkempen bagi calon PKR kerusi Sook, Raymon Ahuar dengan menekankan perlunya memilih pemimpin yang dapat memastikan hasil negeri sampai kepada rakyat.

Dalam siri ceramah perdana di DUN Klias, yang majoriti rakyatnya bumiputera Muslim, Anwar bercakap mengenai perpaduan.

"Perjuangan kita bukan untuk mengangkat mana-mana suku atau kaum sebagai ciri utama seorang pemimpin tapi apa yang mustahak adalah integriti," ciapnya selain menggesa rakyat di DUN tersebut mengundi Abdul Rahman Yakub dari PKR.

Kemudian, ketika berada di DUN Matunggong, yang juga merupakan satu lagi kerusi majoriti bumiputera bukan Islam, Anwar mengulangi mesejnya mengenai hasil bumi Sabah yang perlu diurus dengan baik dan jujur agar dapat memberi manfaat kepada rakyat di negeri itu.

Sazalye Donol merupakan calon PKR bagi DUN Matunggong.



Sejurus selepas itu Anwar bergerak ke DUN Tempasuk, kawasan bumiputera Muslim yang ditandingi oleh Mustapha PKR Mohd Yunus Sakmud dari PKR sebelum ke Tamparuli, kerusi bumiputera bukan Islam yang ditandingi oleh Alijus @ Mohd Ali Sipil.

PKR tewas di DUN Matunggong, Tempasuk dan Tamparuli pada pilihan raya umum (PRU) ke 14 lalu, sementara DUN Sook dan Klias ditandingi rakan sekutunya dari Warisan dalam pilihan raya kali ini.

Siri jelajah Anwar di kesemua tujuh kerusi yang ditandingi PKR dibuat hanya tempoh masa satu hingga dua jam, sekali gus memberi gambaran pemimpin PKR itu kemungkinan menggunakan pengangkutan udara bagi menjayakan siri jelajahnya.

Ini kerana sebilangan besar siri jelajah Anwar ini memperuntukkan empat jam jika menggunakan jalan raya.

Anwar dijangka mengakhiri siri jelajahnya di DUN Api-Api dan Inanam malam ini, yang merupakan dua kerusi yang dimenangi PKR pada pilihan raya 2018.

DUN Api-Api adalah kerusi campuran yang mana penyandang Pengerusi PKR Sabahtua PKR Sabah Christina Liew.

Bagaimanapun, Anwar dijangka perlu memberi penjelasan berhubung kerusi DUN Inanam yang majoritinya bumiputera bukan Islam, yang juga mempunyai penduduk Cina yang ramai.



Adun PKR Inanam, Kenny Chua telah berpaling tadah untuk menyokong bekas ketua menteri Sabah Musa Aman yang gagal melakukan rampasan kuasa terhadap pemerintah Warisan Plus.

PKR memecat Chua berikutan pembelotannya.

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal, yang juga presiden Warisan, menggagalkan rampasan kuasa dengan mendapatkan perkenan bagi pembubaran DUN, sekali gus memberi laluan untuk PRN Sabah.

Hari penamaan calon untuk pilihan raya Sabah akan berlangsung pada 12 September sementara hari pengundian ditetapkan pada 26 September.

Sebanyak 73 kerusi diperuntukkan pada PRN Sabah.


______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.