Header

Annuar Musa gesa PRU mengejut, kembalikan mandat kepada rakyat


KUALA LUMPUR:
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, meminta Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya mengejut diadakan.

Langkah itu katanya, untuk mengembalikan mandat kepada rakyat bagi menentukan pemimpin pilihan mereka sekali gus menjadi jalan terbaik menyelesaikan kemelut politik yang melanda negara.

"Selamat mengundi ikut suara hati," katanya dalam Twitter di sini pada Rabu.

Annuar turut menegaskan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mungkin akan menjadi Perdana Menteri, tidak kira berapa bilangan ahli Parlimen dan daripada parti mana yang menyokongnya.
"Mari kita selesaikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dulu dan kemudian kita serahkan rakyat untuk membuat pilihan untuk semua," ujarnya.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan tiada seorang pun wakil rakyat parti itu menyokong Anwar, selepas Presiden PKR itu mengumumkan mendapat sokongan dan majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan.

Dalam sidang media di Kuala Lumpur tengah hari Rabu, beliau mendakwa, mendapat sokongan ahli Parlimen daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kerajaan sedia ada, namun enggan mendedahkan bilangan mereka.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut berkata, beliau sudah diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, namun ditangguhkan kerana baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).


______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.