1.93 juta rakyat Sabah, Sarawak terima bantuan Prihatin bernilai RM2.1 bilion, kata Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR: Sejumlah 1.93 juta rakyat Sabah dan Sarawak menerima manfaat Bantuan Prihatin Nasional bernilai lebih RM2.1 bilion, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, hampir 100,000 perniagaan di Sabah dan Sarawak, termasuk perniagaan mikro, kecil dan sederhana menerima manfaat bernilai RM1.4 bilion melalui saluran seperti Subsidi Upah Pekerja, Geran Khas Prihatin, serta pinjaman mikro Tekun dan BSN untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro.
Katanya, Kementerian Kewangan mengadakan sesi lawatan rasmi ke Sabah dan Sarawak pada minggu ini untuk mendapatkan maklum balas tentang proses pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi Prihatin dan Penjana pada saat rakyat dan perniagaan terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Pada sesi lawatan tersebut, pihak kementerian bertemu dengan pelbagai agensi kementerian, termasuk Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMSabah) dan Perbendaharaan Malaysia Sarawak (PMSarawak), serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) di kedua-dua negeri.
“Agensi ini memainkan peranan penting dalam pemprosesan permohonan dan penyaluran inisiatif seperti Bantuan Prihatin Nasional kepada golongan B40 dan M40, fasa ke-2 dan ke-3 Bantuan Sara Hidup 2020, Geran Khas Prihatin kepada PKS mikro, Subsidi Upah Pekerja serta Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) di negeri Sarawak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, kementerian bekerjasama dengan agensi tersebut, dengan sokongan pelbagai badan lain, termasuk tentera, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), polis, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri, Majlis Keselamatan Negara, pejabat Residen/Daerah/Daerah Kecil, Jabatan Perbendaharaan Negeri Sabah, Unit Perancang Ekonomi dan Jabatan Ketua Menteri kedua-dua negeri.
“Ini bagi memastikan bantuan dan inisiatif kerajaan dapat disalurkan dengan cepat dan tepat kepada pihak yang memerlukan di serata Sabah dan Sarawak, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman yang sukar diakses secara fizikal,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, walaupun usaha kerajaan dan agensi yang terlibat membuahkan hasil, kerajaan peka dengan cabaran dari segi logistik berkenaan penyaluran dana serta pengemaskinian data penerima untuk memastikan warga Sabah dan Sarawak yang layak akan menerima bantuan.
“Sebagai contoh, PMSabah selaku urusetia BSH/BPN Sabah bersama LHDNM, BSN dan pejabat daerah Sabah melaksanakan penyerahan bersepadu di 13 lokasi daerah pedalaman yang tidak mempunyai cawangan BSN untuk menyampaikan bayaran BPN dan BSH, melibatkan 2,845 penerima yang tidak memiliki akaun bank antara 1 Julai hingga 10 Ogos 2020.
“Di Sarawak pula, warga PMSarawak memasuki 30 lokasi pedalaman untuk menyampaikan bayaran BPN dan BSH, melibatkan 41,995 penerima yang tidak memiliki akaun bank antara 1 hingga 30 Julai yang lalu bagi tujuan ini,” katanya.
Beliau berkata, 20,901 penerima hadir untuk menerima bantuan tunai tersebut dalam tempoh usaha itu.
Katanya, bagi yang masih belum menerima bantuan di kedua-dua negeri, mereka boleh hadir di mana-mana cawangan BSN sebelum 31 Dis 2020.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan memberi jaminan penambahbaikan pelaksanaan dan saluran bantuan kepada rakyat sentiasa diberikan penekanan.
“Usaha kerajaan akan merangkumi bukan sahaja dari segi merapatkan jurang digital, tetapi juga penambahbaikan infrastruktur fizikal antara kawasan bandar dan pedalaman di kedua-dua negeri,” katanya.
Katanya, usaha ini sejajar dengan 4 tema utama Belanjawan 2021, iaitu menjaga kebajikan rakyat; memacu pertumbuhan ekonomi; melestarikan kehidupan dan memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.
Bagi tujuan tersebut, katanya, kementerian menganjurkan jelajah konsultasi Belanjawan 2021 di Kuching pada 17 Sept 2020, iaitu kementerian turun padang dan berjumpa dengan pihak berkepentingan pelbagai industri bagi mendapatkan maklum balas mengenai pakej rangsangan ekonomi dan cadangan untuk Belanjawan 2021.
“Di Sarawak, kementerian mengadakan sesi dialog dengan wakil industri, termasuk industri minyak dan gas, komoditi-agro, pelancongan dan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata, perbincangan bersama wakil industri yang hadir merangkumi keperluan dasar dinamik, sokongan sumber dan kerjasama yang boleh dijalin untuk melonjakkan negeri Sarawak dalam Belanjawan 2021, ekoran terkesannya industri tersebut akibat penularan pandemik Covid-19 pada tahun ini.
“Kementerian Kewangan menerima pelbagai pandangan dan cadangan
penyelesaian daripada wakil industri dan agensi yang terlibat dan akan
memperhalusi cadangan tersebut bagi tujuan Belanjawan 2021,” katanya.
______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
Post a Comment