Pendakwah Ustaz Ebit Lew Kongsi Pengalaman Bersama Tok Mat
KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim Lew hari ini berkongsi pengalaman bertemu calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan, kira-kira tiga tahun lalu.
Menerusi catatan dalam Facebook miliknya, pendakwah yang lebih dikenali sebagai ustaz Ebit Lew itu menyifatkan Mohamad sebagai seorang yang merendah diri.
“Sebak, tahun 2016 dulu ada ceramah dekat Masjid Negeri Sembilan. Tok Mat (Mohamad) duduk depan sekali.
“Masa itu beliau Menteri Besar. Tekun sahaja dengar katanya selalu dengar ceramah saya di radio dan YouTube. Saya sangat minat dengar ceramah ustaz,” katanya.
Tambahnya, selepas ceramah tamat mereka dipelawa makan di dalam bilik dan diasingkan daripada tetamu lain.
“Masa kami makan meja kami diasingkan di bahagian dalam bilik. Tok Mat (Mohamad) ajak makan dekat luar bersama semua orang.
“Kita makan kena sama dengan semua orang, saya malu makan asing daripada orang lain. Siapa kita ini hendak lain daripada orang lain,” kongsi Ebit Lew.
Kata pendakwah tersebut, ketika itu beliau sebak apabila seorang Menteri Besar mengeluarkan kata-kata seperti itu.
“Sebak dengar begitu, dulu Nabi Muhammad SAW selalu makan bersama hamba. Walaupun orang Arab tidak makan dengan hamba, Nabi sudi makan kenduri kecil yang dihadiri oleh hamba.
“Beliau (Mohamad) sangat rendah diri melayan semua orang. Masa makan kami cerita mengenai dakwah dan kerja-kerja agama.
“Beliau orang baik dan ada semangat Islam dalam dirinya. Kami juga berbual tentang keluarga dan menghargai keluarga,” katanya.
Menurutnya lagi, beliau mendoakan agar Mohamad terus istiqamah dan terus mendahulukan Islam.
“Saya doakan orang baik sepertinya terus istiqamah dalam kebaikan dan tidak kira siapa daripada organisasi atau parti mana pun niatlah bawa Islam masa kita menjadi pemimpin.
“Dahulukan perintah Allah, dahulukan Islam. Kerana Islam ini kita mulia, janganlah menghina sesiapa,” katanya. – UTUSAN
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
Post a Comment