Isu bayaran RM1.4 juta: SPRM serah kertas siasatan minggu depan
SHAH ALAM- "Saya tidak mahu buat sebarang spekulasi, demikian tegas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkaitan sama ada akan ada lagi mana-mana individu dipanggil untuk beri keterangan termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Azam menjawab demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini siasatan terhadap isu Pas membayar RM1.4 juta kepada editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.
Azam Baki berkata bagaimanapun siasatan mengenai kes berkenaan di peringkat akhir.
"SPRM akan kemuka kertas siasatan berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya selewatnya minggu hadapan.
"Buat masa ini, saya sudah bincang dengan pegawai penyiasat dan laporan yang saya terima memaklumkan ianya berada pada peringkat akhir siasatan dan masa sama SPRM ada buka beberapa kertas siasatan tetapi beberapa kertas siasatan kita akan kemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya terlebih dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir dalam Majlis Perasmian Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu di sini tadi.
Terdahulu pada Sabtu lalu, SPRM tidak menolak kemungkinan akan memanggil Hadi untuk siasatan pembayaran wang berjumlah RM1.4 juta kepada Rewcastle-Brown.
Bagaimanapun, Azam difahamkan enggan mengulas lanjut apabila ditanya bila Hadi akan dipanggil untuk memberi keterangan.
Setakat ini sekurangnya 25 individu sudah dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan kes tersebut.
Post a Comment