‘Bekas diktator’ adalah fakta, Izzah pertahan kenyataan
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar hari ini mempertahankan perkataan “bekas diktator” apabila merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad yang disebutnya dalam temubualnya bersama akhbar Singapura, Straits Times baru-baru ini.
“Untuk rekod, ia berfakta. Saya sebut sebelum pilihan raya, saya sebut semasa himpunan Bersih,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
“Saya tak faham kenapa menyebutnya dalam forum berbeza, tetapi mengandungi mesej yang sama, jadi masalah.”
Sebelum ini, Nurul Izzah dalam temubual dengan Straits Times mengakui beliau “patah hati” dengan perkembangan politik negara selepas pilihan raya umum tahun lalu.
Beliau juga tidak berpuas hati dengan kekurangan naratif jelas mengenai usaha memperkuatkan aliran pertengahan dan penyertaan bekas ahli Parlimen Umno dalam Pakatan Harapan.
Katanya, tidak mudah bekerja dengan “bekas diktator” yang menjadi punca begitu banyak kerosakan berlaku.
Kenyataan itu kemudiannya dikritik pemimpin PPBM seperti Ahli Majlis Tertingginya, Tariq Ismail Mustafa.
Ditanya mengenai kenyataannya bahawa reformasi negara bergerak perlahan, Izzah mengiyakan kenyataan tersebut dan tertanya adakah beliau tidak boleh mengulas perkara itu.
“Adakah salah? Saya fikir sesiapa sahaja boleh memberi komen mengenai langkah reformasi dan kita bekerja ke arahnya bersama-sama.”
Mengenai temubualnya dengan media, Izzah berkata dia akan menyatakan pendiriannya secara jelas dalam sesi bersama media, terutama dengan akhbar tempatan.
Beliau berkata tiada apa yang baru dalam temubual bersama akhbar Singapura itu.
“Saya hanya mengulangi pendirian yang pernah saya sebutkan bertahun lalu. Tuan-tuan dan puan-puan boleh rujuk kenyataan kami semasa Konvensyen Pakatan Harapan.”
Izzah mengingatkan bahawa dia mengumumkan pendiriannya mengenai Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) kepada akhbar tempatan.
“Akhirnya, marilah kita gunakan peluang ini untuk tumpu pada reformasi. Saya percaya adalah penting buat wakil rakyat dan pemegang taruh untuk terus mendesak agenda itu.
“Saya sentiasa optimis, tetapi saya fikir kadang-kadang kita perlu nyatakan pendirian dengan jelas. Saya tidak bermaksud untuk membawa mudarat, dan saya akan terus bersuara tentang apa yang betul dan salah.”
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
Post a Comment