Berpadalah hina bangsa sendiri, tegur Isma kepada Tun M, Daim
“Apa agenda mereka? Siapa di belakang mereka? Dua insan utama negara ini telah berpuluh tahun bergerak atas parti politik Melayu dan menang kerana disokong oleh orang Melayu tapi kini mereka sudah beralih arah.
“Selepas Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) menghina Melayu dengan mengatakan Melayu lemah, malas dan tidak pandai urus duit, kini Tun Daim pula mengatakan kita tak perlu lagi memperjuangkan Melayu. Kita bangsa Malaysia katanya.”
Demikian kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Haji Aminuddin Yahaya berikutan pertikaian bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berhubung kerjasama politik antara PAS dan UMNO yang mahu memperjuangkan bangsa dan agama.
Sebelum ini, Daim dilaporkan berkata, kerjasama antara mana-mana parti politik tidak menjadi isu, namun masalah timbul apabila kerjasama itu adalah untuk memperjuangkan satu bangsa dan agama tertentu.
Apabila muncul satu tahap di mana pengundi mengundi mengikut bangsa dan agama dan bukannya nilai sejagat, maka rakyat berada dalam masalah besar, kata bekas menteri kewangan itu.
Mengulas lanjut perkara itu, Aminuddin meluahkan rasa hairan apabila saban hari pemimpin-pemimpin Melayu asyik menghentam bangsa sendiri.
“Apa agenda mereka? Siapa di belakang mereka? Dua insan utama negara ini telah berpuluh tahun bergerak atas parti politik Melayu dan menang kerana disokong oleh orang Melayu tapi kini mereka sudah beralih arah.
“Malangnya, selepas mereka berkuasa puluhan tahun dan mengaut segala hasil mahsul negara atas nama Melayu, kini Melayu pula mereka lupakan. Malah ditohmah.
“Adakah semua Melayu malas, tidak pandai mengurus wang, lemah atau ini hanya sekadar retorik untuk kekal berkuasa?,” soalnya.
Beliau berkata, jika pemimpin sendiri sudah mendoktrinkan sifat orang Melayu sebegini, maka tidak hairanlah lama kelamaan anak-anak muda Melayu tidak lagi yakin pada diri sendiri.
“Mereka akan dimamah oleh orang lain seperti api membakar sekam. Hilang harta boleh dicari, robohnya jati diri sukar untuk bangun kembali,” katanya.
Pun begitu, Aminuddin yang juga Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) berkata, beliau yakin apabila tiba Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, mereka akan kembali kepada orang Melayu.
“Apabila mereka sakit, orang Melayulah yang akan mendoakan mereka. Apabila mereka mati, orang Melayulah yang akan memandi dan menanamkan jenazah mereka.
“Jadi berkadarlah menghina bangsa sendiri,” katanya.
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
Post a Comment