Header

‘Syukur kami tidak mati sebagai banduan’


DUNGUN:
Bekas ahli kumpulan Al-Maunah yang dibebaskan awal tidak menyangka impiannya untuk melangkah keluar dari tirai besi menjdi kenyataan 17 Ogos lalu.

Lelaki itu yang kini berusia 60 tahun bersyukur kerana masih ada peluang kedua untuknya kembali ke pangkuan keluarga.

Sebaik sahaja melangkah keluar dari penjara di Selangor, hanya tangisan mengiringi penyatuan semula dia dengan isterinya yang setia menunggu selama 20 tahun.

Mengimbau hari pembebasannya pada 17 Ogos lalu, dia berkata, hari tersebut tidak se­perti hari lain apabila dia bersama tujuh rakan yang juga bekas ahli Al-Maunah dipanggil ke pejabat penjara dan dimaklumkan akan dibebaskan.

“Kami berulang kali meluahkan rasa terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana memberi pengampunan buat kami.

“Saya tidak tahu bagaimana mahu menulis surat terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi sangat menghargai kebaikan Seri Paduka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Sebelum dibebaskan, dia te­lah enam kali membuat permohonan diberi pengampunan dari­pada hukuman penjara sepanjang hayat.

Bapa kepada enam anak itu mengakui menyesal atas kesilapan lalu dan berjanji untuk berdiri teguh di belakang kerajaan sekali gus tidak akan me­ngulangi perbuatan sama.

Menurutnya, dia berhasrat membantu perniagaan kedai jahit milik isterinya kerana turut mempunyai kemahiran menjahit yang dipelajari di penjara.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan seramai 13 banduan yang menjalani hukuman di beberapa penjara di negara ini mendapat pembebasan awal daripada Yang di-Pertuan ­Agong sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-63.

Sementara itu di BANTING, seorang lagi anggota Al-Maunah yang berusia 56 tahun turut bertekad membina semula keluarganya selepas terharu isteri serta empat anaknya sanggup menunggu selama 20 tahun dan menerimanya semula.

Hanya mahu dikenali sebagai ‘Pakcik’, dia berkata, peluang kedua yang diberikan akan digunakan sebaik mungkin kerana tidak semua orang berpeluang mendapatkannya.

“Cabaran saya ialah bagaimana hendak mendidik anak ke­rana bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tetapi situasi saya terbalik di mana anak kini sudah membesar dan mempunyai kehidupan masing-masing terutama anak sulung sudah berkeluarga.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah anak-anak menerima diri saya dan kami sekarang banyak menghabiskan waktu bersama terutama solat berjemaah dan makan bersama-sama.

“Teringat susah payah isteri menjaga anak yang masih kecil iaitu berusia enam bulan hingga 10 tahun. Ketika dalam penjara, pernah juga saya menyuarakan kepada isteri untuk melepaskannya, namun dia tetap setia dan berkorban menjaga anak-anak dengan mengambil upah me­ngasuh anak orang,” ujarnya.

Katanya, ketika dalam penjara dia banyak mengikuti program surau sehingga menjadi guru mengaji selain menyertai bengkel menjahit baju dan sofa.

“Lebih 20 orang telah khatam bersama saya,” katanya yang mengajar al-Quran bersama adiknya berusia 54 tahun yang turut dibebaskan selepas dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat atas kesalahan sama.

Ditanya bagaimana boleh terbabit dengan kumpulan Al-Maunah, katanya, dia dan adik­nya hanya ingin mendalami ilmu perubatan, namun tidak sangka yang berlaku sebaliknya.

“Biarlah ia menjadi sejarah dan tidak mahu mengulasnya lagi. Saya hanya mahu bersama keluarga dan bercadang mahu menjahit baju untuk anak terutama anak ketiga kerana kami amat rapat,” katanya. – UTUSAN


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.