Header

Syarikat palsu terima wang 1MDB


KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini didedahkan mengenai peranan dua syarikat palsu yang ditubuhkan bagi menerima wang yang diseleweng daripada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peranan dua syarikat terbabit, iaitu Aabar Investments PJS Ltd (BVI) dan Aabar Investments PJS Ltd (Seychelles), dibangkitkan ketika peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed menyoal balas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Aabar BVI dan Aabar Seychelles ditubuhkan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low serta sekutunya, bagi membayangi identiti syarikat sebenar, iaitu Aabar Investments PJS yang ditubuhkan di Abu Dhabi (subsidiari kepada International PetroIeum Investment Company (IPIC).

Wan Aizuddin ketika itu menyoal balas Shahrol Azral mengenai kemasukan wang berjumlah AS$223 juta daripada 1MDB Energy Ltd ke dalam akaun Aabar BVI.

Ditanya sama ada Ahli Lembaga Pengarah 1MDB diberi taklimat mengenai pemindahan wang itu, Shahrol Azral menjawab, "tidak, kami tidak diberitahu".

Menjawab soalan peguam sama ada beliau menyedari kewujudan kedua-dua syarikat itu yang ditubuhkan di British Virgin Islands dan Seychelles, Shahrol Azral berkata, beliau mungkin ditunjukkan dokumen mengenainya ketika siasatan kes 1MDB berlangsung.

Ditanya lanjut sama ada saksi pendakwaan kesembilan itu bersetuju bahawa kedua-dua syarikat berkenaan tiada kaitan dengan syarikat sebenar (Aabar PJS), Shahrol Azral berkata beliau tidak boleh memberikan sebarang komen mengenainya.

Dalam prosiding sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa 1MDB membuat pinjaman AS$975 juta daripada Deutsche Bank tetapi ia tidak pernah digunakan untuk menebus semula "Aabar Options" (pembelian pilihan yang dijamin oleh IPIC), ketika proses pembelian penjana tenaga bebas (IPP).

Pada 2014, 1MDB bercadang untuk menyenaraikan 1MDB Energy Group di Bursa Malaysia melalui pembelian pilihan Aabar.

Wan Aizuddin kemudian mencadangkan kepada Shahrol Azral bahawa wang pinjaman terbabit tidak pernah dibayar kepada Aabar PJS, bagaimanapun saksi berkata, pembayaran itu dibuat berdasarkan apa yang diwakilkan oleh CEO 1MDB (selepas Shahrol Azral), Mohd Hazem Abdul Rahman.

Sementara itu, Shahrol Azral bersetuju dengan cadangan peguam bahawa melalui penyata bank Aabar Seychelles, wang terbabit dipindah masuk melalui dua peringkat ke dalam syarikat palsu berkenaan.

Apabila disoal mengenai keputusan 1MDB untuk membuat pinjaman baharu itu, Shahrol Azral berkata, arahan bagi pembiayaan semula dibincangkan oleh pemegang saham dan pihaknya hanya mengikut arahan sahaja.

"Pada tahun 2014 dan 2015, banyak keputusan mengenai penebusan balik 'pembelian pilihan Aabar' dan jaminan oleh International Petroleum Investment Company dibuat di peringkat Pejabat Perdana Menteri," katanya.

Perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB dihadapi Datuk Seri Najib Razak di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - BH


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.