Header

Retorik fanatik agama akan pecah belah perpaduan, kata Anwar


PETALING JAYA:
Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim berkata tiada alasan untuk retorik fanatik agama atau kaum akan terus memecahbelahkan perpaduan rakyat berbilang kaum.

Beliau menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh daripada PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh yang mendakwa kitab Injil dipinda, kurang bijak, tidak peka dan mencerminkan pemahaman Islam yang rendah etika, ketika berbahas dengan penganut agama lain.

“Dalam konteks ini, ia merujuk kepada agama Kristian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jika niat Zawawi bertujuan mengajak orang ramai memahami Islam, beliau perlu menggunakan “kebijaksanaan dan nasihat baik” untuk menghormati satu sama lain.

Presiden PKR itu berkata, jika kenyataan Zawawi menimbulkan salah faham, jalan terbaik ialah mengakui kesilapan itu dengan rendah hati.

Katanya, sikap yang betul penting untuk memastikan prinsip keadilan, kesaksamaan dan sikap belas kasihan kepada semua dipraktikkan.

“Tidak harus ada yang terkecuali daripada hukum, dan keadilan mesti ditegakkan.”

Rabu lalu, Zawawi dilaporkan berkata, semua agama tidak mengizinkan penganutnya meminum arak, tetapi Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) meminta beliau membetulkan faktanya kerana agama lain seperti Kristian, membenarkan penganutnya minum arak, tetapi tidak sampai tahap memabukkan.

Ketua ulama PAS itu bagaimanapun bertegas “sebelum kitab Injil dipesongkan”, agama Kristian tidak membenarkan penganutnya minum sedikit arak pun.

Beliau membuat kenyataan kontroversi itu di Dewan Rakyat ketika membahaskan rang undang-undang pindaan Akta Pengangkutan Jalan bagi menambah hukuman buat pemandu mabuk.

Beliau juga enggan memohon maaf dan berkata penganut Kristian “tiada hak tersinggung” dengan kenyataannya. - FMT


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.