Header

Penyingkiran Musa patut didengar elak krisis politik masa depan, kata Mahkamah Persekutuan


PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan penghujahan Musa Aman bahawa penyingkiran beliau sebagai ketua menteri Sabah hendaklah didengar atas sebab kepentingan awam.

“Umum mengetahui bahawa ini bukan kali pertama rakyat Sabah perlu berdepan dengan kemelut politik dan krisis perlembagaan begini. Ia tidak akan menjadi kali terakhir jika ia tidak diselesaikan oleh mahkamah ini,” kata hakim Abdul Rahman Sebli.

Beliau dilihat merujuk kepada ketidakstabilan politik yang berlaku berikutan pilihan raya negeri (PRN) pada 1985 dan 1994.

Rahman seterusnya berkata, krisis politik dan perlembagaan 2009 yang berlaku berikutan penyingkiran menteri besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin juga merupakan peringatan bahawa isu yang dibangkitkan oleh Musa perlu diputuskan oleh mahkamah.

Minggu lepas Rahman dan hakim Zabariah Mohd Yusof dalam keputusan majoriti 2-1 bersetuju bahawa aduan Musa walaupun kini akademik, perlu didengar.

Pengerusi panel hakim Mohd Zawawi Salleh, yang merupakan pendapat minoriti berkata, persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh Musa tidak mempunyai kesan praktikal dan merupakan langkah yang sia-sia.

Tambahan lagi katanya, Dewan Undangan Negeri Sabah ke-15 telah dibubarkan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 12 September ini dan hari mengundi 26 Sept.

Dalam penghakiman setebal 34 halaman yang dikeluarkan hari ini Rahman berkata, persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh Musa mempunyai kepentingan perlembagaan yang besar dan implikasinya melibatkan bukan sahaja negeri Sabah, tetapi juga seluruh negara.

“Rakyat Sabah berhak tahu sama ada penyingkiran Musa dilakukan secara sah dari segi undang-undang dan juga perlembagaan Sabah.

“Setakat ini tidak ada kata penamat berhubung isu sama ada Musa dilucutkan jawatan secara sah,” katanya.

Rahman berkata, gabenor menyingkirkan Musa kira-kira 48 jam selepas beliau dilantik pada 10 Mei 2018, dan tidak wujud permohonan untuk membubarkan DUN ketika itu.

Hakim itu seterusnya berkata, kes tersebut berbeza sama sekali dengan kes di Perak yang menyaksikan menteri besar (Nizar) membuat permohonan untuk membubarkan DUN di bawah Perkara 16(6) perlembagaan negeri, tetapi ditolak oleh Sultan Perak.

“Berbeza dengan Sultan Perak, yang merupakan pewaris Raja Melayu, jawatan TYT (gabenor) diwujudkan oleh perlembagaan Sabah.

“Atas asas itu, TYT hanya boleh melaksanakan budi bicara atau kuasa yang ditetapkan di bawah perlembagaan Sabah. Berbeza dengan Sultan, TYT tidak mempunyai kuasa rizab yang berkaitan dengan Sultan warisan,” katanya.

Pada pilihan raya umum 9 Mei 2018 Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Musa memenangi 29 kerusi DUN di Sabah.

Pembangkang yang terdiri daripada Warisan pimpinan Shafie Apdal, DAP dan PKR juga mendapat 29 kerusi dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) 2 kerusi.

BN dan STAR yang menguasai 31 kerusi di DUN dengan 60 kerusi menubuhkan sebuah kerajaan campuran, sekali gus membolehkan Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei.

Bagaimanapun 2 hari kemudian, 5 Adun Upko mengubah sokongan mereka kepada kem Shafie.

Shafie mengangkat sumpah sebagai ketua menteri selepas itu menyebabkan Musa memohon perisytiharan mahkamah bahawa bahawa beliau masih merupakan ketua menteri yang sah kerana tiada undi tidak percaya dibuat terhadapnya.

Hakim Mahkamah Tinggi Yew Jen Kie merujuk kepada kes Perak untuk memutuskan bahawa gabenor Juhar Mahiruddin mempunyai kuasa untuk menyingkirkan ketua menteri.

Pada 28 November, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Musa terhadap keputusan Mahkamah Tinggi kerana Shafie kini mendapat sokongan majoriti Adun. - FMT


______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.