Header

Musa akhirnya muncul dalam kempen calon Bersatu


Musa Aman hari ini membuat penampilan mengejut di dua acara rasmi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang berkempen di Sabah untuk calon Perikatan Nasional dari Bersatu.

Dalam ucapannya di hadapan kira-kira 300 penyokong dan pengundi di sebuah bazar di Kuala Penyu, Muhyiddin mengatakan bekas ketua menteri Sabah itu berada di situ bagi menzahirkan sokongannya terhadap PN.

Muhyiddin turut memuji Musa yang dianggapnya bersemangat tinggi walaupun tidak dicalonkan untuk mana-mana kerusi.

"Para pengundi di Sabah (mesti) memilih KERAJAAN yang baik.

"Saya tidak menafikan apa yang telah dilakukan (ketua menteri sekarang) Shafie Apdal, seperti yang dilakukan Musa, (dia) membawa pembangunan ke Sabah selama menjadi ketua menteri.

“Kita ucapkan terima kasih kepada Tan Sri Musa bagi segala usahanya.

“Sekarang dia tidak menjadi calon, tak apa. Tapi semangatnya masih kuat, mahu datang ke sini untuk sokong calon dan sokong PN,” kata Muhyiddin.

Untuk kerusi Kuala Penyu, PN menurunkan Limus Juri, seorang pemimpin Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) yang melompat menyertai Bersatu.

Turut hadir, seorang lagi calon Bersatu, Isnin Aliasnih, yang bertanding di Klias.

Tanya khabar pada wartawan

Musa membuat kemunculan pertama kali di Klias, lokasi pertama Muhyiddin hadir di kempen PRN Sabah.

Ia menimbulkan spekulasi bahawa Musa berkempen untuk Bersatu dan PN, bukannya Umno, ketika sebelum ini dia merupakan satu-satunya wakil rakyat Umno dalam DUN Sabah sebelum ia dibubarkan.

Bagaimanapun, Musa enggan memberi sebarang komen apabila ditanya - ketika berada di kedua-dua majlis tersebut - mengenai kemungkinan dia menyokong PN.

Seorang pengawal yang ditugaskan agar Musa tidak didekati oleh kemudian memberitahu, bosnya akan mengeluarkan kenyataan media kemudian.

Pada acara pertama di Dataran Bagandang, Beaufort, Musa duduk di barisan pertama. Dia kemudian diberikan tempat duduk VIP di pentas pada acara kedua di Kuala Penyu.

Dia dilihat beramah mesra dengan orang ramai sambil bertepuk tangan dan sering mengangguk-anggukkan kepalanya ketika Muhyiddin bercakap.

Menurut Bernama kebanyakan hadirin termasuk pemimpin setempat dan penduduk kampung, mengambil kesempatan untuk berswafoto dengan Musa dan bersalaman dengannya.

Apabila disapa oleh wartawan Bernama di Beaufort, Musa tersenyum dan berkata: "Saya sihat, alhamdulillah. Awak apa khabar?"

Musa - yang berasal dari Kampung Bingkul, iaitu hanya lima minit jaraknya dari Beaufort - mencetuskan kekecohan pada 29 Julai apabila mendakwa mendapat sokongan yang cukup daripada Adun Sabah bagi menumbangkan kerajaan pimpinan Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal.

Keesokan harinya, Mohd Shafie mengumumkan pembubaran DUN Sabah dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN diadakan pada 26 Sept ini.

Di sebalik statusnya yang berprofil tinggi, tiada mana-mana parti menyenaraikan Musa sebagai salah seorang calon mereka.




______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.