Langkah PAS di Sabah tidak pernah terhenti
SAYA berada di Sabah selama lebih 4 tahun dalam rangka menghabiskan pengajian Sains Marin di UMS. Dalam tempoh tersebut, masa tidak dihadkan kepada pengajian tetapi saya juga aktif bersama rakan-rakan yang lain memberi khidmat kepada bumi tempat kami menumpang melalui Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan Siswazah Sabah, Kelab Remaja Ukhuwwah dan PAS.
Sabah sememangnya bumi yang dipenuhi keberkatan. Penduduknya ramah dan sangat mudah didekati malah masih mengamalkan nilai kemasyarakatan dan bekerjasama yang mungkin makin pudar dan mati di metropolitan tanah Semenanjung. Malah, kepelbagaian bangsa dan budaya menjadikan Sabah bumi yang sangat indah untuk didiami dan diterokai.
Paling utama Sabah adalah ladang pahala yang menunggu ditanam, dibajai dan dituai hasilnya oleh mereka yang mencintai dunia dakwah dan kemanusiaan. Sebab itu saya tidak kecewa apabila PAS mengumumkan bahawa mereka tidak akan bertanding di Sabah.
Kerana kalau PAS sebuah parti politik semata-mata pastinya tindakan itu tidak bijak. Kalau yang dikejar PAS hanya kerusi semata-mata pastinya PAS adalah yang paling bodoh. Kalau PAS hanya mahu menjadi ‘King Maker’ dan pencatur dunia sahaja pastinya ahli PAS akan bangkit dan menderhaka.
Tetapi PAS bukan semata-mata bijak bersilat di pentas politik. Dakwah PAS masuk menemui mualaf, mengajar mereka Fardhu Ain dan membangunkan semula masjid-masjid yang telah lama ditinggalkan tak akan berhenti tanpa kerusi.
Sumbangan PAS membangunkan PASTI sehingga PASTI di Sabah dijadikan contoh malah disertai pelajar bukan-Islam, malah pesatnya pembukaan SRITI sebagai alternatif Pendidikan Islam di bumi ini tak akan berhenti tanpa kuasa.
Usaha PAS menghantar anak-anak dari pelosok pedalaman ke pondok-pondok di Semenanjung seterusnya ke negara-negara Arab untuk menuntut ilmu agama agar masyarakat dapat dibekalkan dengan khazanah Islam yang akan kekal juga tidak berhenti tanpa diberi suaka politik dan posisi memerintah.
Ahli PAS melakukan ini semua selama berpuluh tahun pun, dengan duit dari poket mereka sendiri, memandu berpuluh jam untuk melakukan ibadah korban di pedalaman dan menghantar kereta ke bengkel setiap bulan kerana perlu diservis akibat jalan yang tidak baik dan luasnya bumi yang perlu dijelajahi.
Ini yang ramai orang tidak faham. Yang mereka tahu kerana PAS tidak ada kerusi maka PAS tidak pandai berpolitik. Yang mereka faham kalau PAS tidak bertanding maka PAS tidak bijak berpencak.
Kalian silap, kerana langkah PAS masih panjang dan perjuangannya belum berhenti. Jasanya menabur bakti dan penat-lelahnya akan dibayar sama ada di dunia atau di akhirat nanti. Malah PAS membuktikan bahawa mereka teman paling setia, sanggup berundur di kala Sabah menjadi rebutan kawan dan lawan, mereka senyap dan tidak menyimpan dendam ketika kawan dan lawan bergaduh dan saling menikam.
Kalau saya di Malaysia ketika ini, saya akan ke Sabah untuk membantu memacak bendera, walaupun akan digelar kuli dan balaci. Kerana saya tahu, yang menilai dan akan memberatkan neraca amalan, bukan kalian tapi hubungan dan bekalan yang saya bawa berjumpa dengan Tuhan. Selamat berpencak bumi Sabah yang dikasihi, jangan silap memilih lagi.
NADIR AL-NURI
Bekas petani di Bawah Bayu – HARAKAHDAILY 14/9/2020
______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
Post a Comment