Header

Hutang syarikat milik kementerian kewangan RM29.68 bilion


Tahap hutang syarikat milik Kementerian Kewangan yang kurang dikenali, Pembinaan PFI Sdn Bhd, adalah sebanyak RM29.68 bilion pada 30 Jun.

Perkara itu dinyatakan dalam jawapan bertulis di parlimen oleh Kementerian Kewangan kepada Anggota Parlimen Bangi, Ong Kian Ming pada 26 Mac.

Ong yang berkali-kali menulis mengenai syarikat itu, bertanya apakah kerajaan ingin membiayai projek-projek pembangunan melalui syarikat ini dan berapa jumlah hutang syarikat itu sekarang.

Kementerian Kewangan mengatakan pada masa ini, kerajaan tidak berhasrat membiayai projek pembangunan baru melalui Pembinaan PFI Sdn Bhd.

Pembinaan PFI, menurut kementerian, ditubuhkan pada 28 September 2006, sebagai syarikat tujuan khas (SPV) untuk membiayai projek pembangunan Rancangan Malaysia Kesembilan.

Syarikat ini dibiayai oleh Kumpulan Wang Pembangunan yang dibiayai oleh pinjaman kerajaan dan lebihan pendapatan dari Kumpulan Wang Disatukan.

Menurut laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2013, Pembinaan PFI mengumpulkan RM30 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada tahun 2007.

PAC berpendapat Pembinaan PFI adalah pinjaman kerajaan di luar belanjawan dan tidak memenuhi syarat inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

Ini bermakna Parlimen tidak dapat meneliti perincian peruntukan projek yang terlibat dalam Pembinaan PFI.

PAC mengesyorkan agar peruntukan dan perbelanjaan oleh Pembinaan PFI dibentangkan dan diluluskan oleh Parlimen.

Selain itu, semua bentuk perbelanjaan di luar belanwajan juga harus dilaporkan secara telus, kata PAC.

Ong dari DAP berulang kali mendakwa kerajaan BN sebelum ini merancang pelbagai skim pembiayaan di luar belanjwan untuk memastikan defisit belanjawan rendah.

Hutang Pembinaan PFI sebanyak RM29.68 bilion bersamaan dengan 9.5 peratus daripada jumlah hasil kerajaan pada tahun 2019.



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.