Header

Amanah sukar kekalkan kerusi dalam PRU15, kata penganalisis


AMANAH mungkin hanya dapat mengekalkan separuh kerusinya jika PAS, Umno dan Bersatu dapat merundingkan agihan kerusi dengan lancar, kata penganalisis.

Penganalisis politik Universiti Malaya Azman Awang Pawi berkata peluang Amanah untuk merebut undi Melayu kini berubah selepas ketiga-tiga parti lawan itu bekerjasama.

Ini kerana Amanah memenangi 11 kerusinya dalam PRU14 disebabkan pertembungan tiga parti berkenaan, yang kini bergabung dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Keadaan itu menyukarkan Amanah memandangkan parti itu tidak mempunyai kekuatan sendiri dan hanya mengharapkan undi penyokong DAP dan PKR di kawasan campuran.

“Jadi disebabkan sokongan pengundi pada PRU14 lalu, Amanah menumpang isu 1MDB, ibu segala isu dalam pilihan raya untuk meraih sokongan rakyat dan dapat kemenangan besar walaupun bertanding buat pertama kalinya.

“Tetapi untuk kali ini peluang Amanah tidak secantik PRU14.

“Apabila undi PAS dan Umno digabungkan, peluang Amanah mengecil, kalau mereka menang separuh daripada kerusi yang ada sekarang pun sudah cukup baik,” kata Awang Azman.

Dalam PRU14 lalu, Amanah menang dua kerusi di Perak, dan masing-masing satu di Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang.

Daripada baki enam kerusinya, lima dimenangi Amanah di Selangor yang ditadbir kerajaan negeri bawah Pakatan Harapan (PH).

Satu lagi kerusi dimenangi di Johor oleh timbalan presidennya Salahuddin Ayub dengan majoriti besar apabila memperolehi hampir keseluruhan undi pengundi Cina di kerusi Pulai.

Namun senario ini mungkin berubah kerana Presiden Amanah Mohamad Sabu pernah membelakangkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri PH, kata Awang Azman.

Beliau mengimbas semula perkembangan ketika Mohamad bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyokong bekas Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri.

Sokongan itu dinyatakan bersama Dr Mahathir Mohamad sewaktu PH bertelagah soal calon perdana menteri selepas kerajaan mereka tumbang dan digantikan PN.

Mohamad dan Lim kemudiannya kembali menyokong Anwar namun ia sudah cukup untuk membuatkan penyokong PKR tidak puas hati, katanya.

“Sekarang pula ahli dan penyokong PKR tidak puas hati dengan Amanah kerana pimpinan parti itu bersama Dr Mahathir menyokong Shafie sebagai perdana menteri sebelum nyatakan sokongan kepada Anwar.

“Orang PKR tidak gembira. Itu menunjukkan sikap kurang setia kawan mereka kepada rakan komponen PH,” kata Awang Azman, kepada The Malaysian Insight.

Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisomuddin Bakar pula berpendapat, Amanah juga masih gagal mendapat kepercayaan pengundi Melayu yang majoritinya masih dikuasai Umno dan PAS.

“Amanah kalau ikut trend hanya bergantung kepada undi bukan Melayu, undi Melayu mereka agak minimum tetapi berdiri atas gabungan PH dalam pilihan raya yang lepas.

“Di Selangor, Amanah hanya bergantung kepada undi bukan Melayu kerana kekuatan Amanah sendiri sangat minimum dan sukar memecahkan sokongan kepada PAS,” kata Hisomuddin.

Beliau berkata keadaan semakin sukar apabila penjajaran politik yang berlaku membuatkan sentimen pengundi Melayu dan Islam cenderung menyokong MN dan PN.

“Kalau MN atau PN tidak berlaku perpecahan di kalangan parti komponen, kerusi Amanah yang 11 ini akan merosot di atas kombinasi undi Umno dan PAS yang bergabung.

“Selepas penjajaran semula politik, (muncul) pemboleh ubah baharu yang mengubah pola pengundian pengundi Melayu, jika trend ini berterusan Amanah akan terjejas.

“Bagi saya besar kemungkinan, berdasarkan perkiraan di atas kertas dan simulasi kami memang sukar untuk Amanah pertahankan kerusi mereka,” tambahnya.

Beliau memberi contoh pertembungan di 17 kerusi ditandingi BN dan PN bersama komponen mereka dalam PRN Sabah yang memberikan harapan kepada Amanah dan PH.

“Kalau berlaku macam di Sabah ia akan jadi sengit apabila berlaku pertembungan.

“Jadi akan berlaku undi pecah di kalangan parti pemerintah yang berpecah kerana ada yang tidak setuju dengan pengagihan kerusi dan sebagainya,” kata Hisomuddin.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya Mohammad Tawfik Yaakub juga melihat Amanah kini sukar untuk memastikan parti itu terus relevan.

Beliau berkata selepas penubuhannya pada 2015, hala tuju parti itu masih tidak jelas dan pemimpin parti itu seolah-olah berpecah-belah.

“Persepsi parti Amanah sedang berpecah juga berlegar dalam kalangan masyarakat, jadi mereka perlu dengan segera menetapkan hala tuju parti yang tak jelas,” katanya.

Selain itu, parti serpihan PAS itu belum benar-benar teruji dalam pilihan raya kerana menggunakan lambang PKR dalam PRU14 dan bukannya lambang parti itu sendiri, kata Tawfik.

Beliau seterusnya mencadangkan pemimpin Amanah bergabung dengan parti pembangkang lain seperti PKR dan Pejuang, yang diasaskan Dr Mahathir untuk kekal dalam arus politik perdana.

“PKR atau Pejuang boleh wujudkan cabang atau unit gerakan Islam moden dalam parti jika menerima pemimpin dan ahli parti Amanah dalam parti mereka agar identiti itu terus kekal walaupun bergabung dengan parti berkenaan,” katanya.

Perpecahan dalam parti itu mula dilihat apabila naib presidennya Husam Musa didapati melepaskan jawatan naib presiden sejak awal bulan ini.

Husam dan parti itu menolak dakwaan bahawa peletakan jawatan itu kerana tidak sebulu dengan Mohamad.

Husam bagaimanapun kekal sebagai ketua Amanah Kota Bharu dan parti itu mengumumkan Husam dilantik menjadi penasihat tiga biro – pilihan raya, komunikasi dan strategi parti.

Selain itu Husam juga diberikan tanggungjawab untuk memimpin usaha merampas Kelantan.
Mengulas isu yang menimpa Amanah pada waktu ini, seorang lagi naib presidennya Mahfuz Omar mengakui perkiraan di atas kertas tidak memihak kepada parti itu.

Namun begitu, ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata ahli politik akan mencari jalan memastikan kemenangan mereka walau apa sahaja perkiraan penyelidik dan pemerhati.

“Saya tahu dari sudut matematik dan akademik, begitu juga dari bacaan (bahawa) MN, gabungan undi Umno dan PAS akan dapat banyak kerusi,” katanya.

Namun dengan melihat kepada perkembangan di Sabah, beliau percaya parti dalam gabungan tersebut sukar mencapai kata sepakat.

“Tetapi berdasarkan apa yang berlaku di PRN Sabah, 17 kerusi ada pertembungan sesama mereka dan apa sahaja yang berlaku, saya yakin ahli politik akan cari jalan macam mana nak menang.”

Mahfuz berkata kekuatan Amanah kini semakin berkembang dengan pertambahan ahli berlaku hampir setiap bulan.
Menurutnya, Amanah mampu menjadi tempat untuk ahli PAS meluahkan protes dan tidak puas hati mereka, lebih-lebih lagi selepas parti itu tidak menyertai PRN Sabah.

“Ramai ahli PAS yang tidak senang tapi mereka tidak berani ke hadapan. Mereka ditanamkan doktrin ketakutan, namun mereka akan menyokong kita,” kata Mahfuz.

______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.