Header

Najib tandatangan borang tukar nama TIA kepada 1MDB


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menandatangani borang pertukaran nama syarikat bagi menggantikan nama Lembaga Pelaburan Terengganu atau (TIA) kepada 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dimaklumkan Penolong Pendaftar Syarikat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Rafidah Yahaya, 48, ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB yang dihadapi Najib.

Saksi ketujuh pendakwaan, memberitahu mahkamah pertukaran itu dibuat pada 25 September 2009.

Rafidah, berkata Borang 13 itu ditandatangani Najib atas kapasiti sebagai Menteri Kewangan.

Pada perbicaraan itu juga, Rafidah turut mengesahkan dokumen pelantikan pengarah TIA bertarikh 18 Mei 2009.

“Pada awal penubuhan TIA, pengarahnya terdiri daripada Tengku Rahimah Puteri binti Almarhum Sultan Mahmud Al Mukhtafi Billah Shah, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.

“Pada 28 Ogos 2009, satu lagi borang pelantikan pengarah dihantar kepada SSM yang menyatakan penambahan beberapa lagi pengarah TIA iaitu Datuk Mohd Bakke Saleh, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan Tan Sri Azlan Zainol,” katanya pada hari kedua perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, turut meminta Rafidah untuk mengesahkan beberapa dokumen antaranya Borang 49 dan dokumen pelantikan Pengarah TIA bertarikh 18 Mei 2009.

Katanya, Najib, dalam kapasiti Menteri Kewangan turut menambah Artikel 117 dalam resolusi TIA (1MDB) pada 2 Sept 2009, di mana syarikat adalah jenis Berhad menurut syer syarikat awam.

“Berikutan itu, modal asal 1MDB meningkat dari RM1 juta kepada RM1.001 bilion pada 26 Februari 2013,” katanya.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.