Header

Khaled dakwa PH Johor pinggirkan minoriti


Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin mendakwa kerajaan Johor yang diterajui PH meminggirkan golongan minoriti di negeri itu.

Khaled membuat dakwaan itu selepas kerajaan Johor didakwa menolak permohonan membina krematorium (tapak upacara kematian) kaum India di Johor Bahru oleh organisasi Hindu yang diluluskan oleh BN sebelum ini.

Bagaimanapun, ketika dihubungi, pembantu kepada menteri besar Johor menafikan permohonan itu ditolak.

Pembantu menteri besar Johor memberitahu Malaysiakini bahawa projek krematorium itu ditangguhkan sementara menunggu kaji semula.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Khaled berkata masyarakat India sudah berjuang untuk mendapatkan tapak itu lebih kurang 20 tahun.

"Kemudahan yang dicadangkan adalah serba moden dan lengkap, untuk menyenangkan urusan upacara kematian masyarakat mereka.

"Pada masa pentadbiran kerajaan BN, kami amat mengambil berat kepada keperluan asas masyarakat bukan Melayu. Kemudahan ini adalah amat penting kerana ia merupakan kemudahan hak asasi kaum India untuk mereka beragama, serta menguruskan upacara terakhir kematian dengan moden, tersusun dan selesa," kata Khaled.

Khaled juga berkata, peruntukan RM1.3 juta telah diberikan kepada Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) sudah memberi bagi membina dan menyediakan infrastruktur yang sesuai di tapak tersebut.

"Apa yang berlaku ini adalah satu retorik yang nyata. Kerajaan negeri Johor di bawah PH tidaklah mementingkan semangat dan prinsip multiculturalism atau multibudaya yang dicanangkan mereka.

"Jika mereka benar dan serius, keperluan asasi seperti tapak ini tidak akan ditolak permohonannya. Mereka seolah-olah membiarkan masyarakat India dalam keadaan terumbang-ambing selepas penolakan permohonan ini.

"Sedangkan, ia adalah keperluan yang mendesak dan penting kepada kaum India. Saya percaya ini bukanlah tindakan yang pertama dan satu-satunya oleh kerajaan PH negeri Johor yang mengetepikan kepentingan masyarakat minoriti di negeri ini," katanya.

Khaled juga mendakwa permohonan itu ditolak jerana ia diluluskan BN sebelum ini.

Isu itu sebelum ini dibangkitkan Adun MIC Kahang, R Vidyananthan yang menggesa penjelasan daripada kerajaan negeri berhubung status projek itu.
 

DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.