Header

Isu kerajaan perpaduan? Dah tutup, kata Zahid


Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata isu mengenai kerajaan perpaduan yang dibangkitkan sebelum ini sudah 'ditutup'.

"Tidak, tidak, isu kerajaan perpaduan dah tutup. Okay, seperti yang saya jelaskan dalam ucapan penutup saya," kata Zahid pada sidang akhbar selepas penutupan Perhimpunan Agung Umno hari ini.

Beliau tidak menjelaskan apa yang dimaksudkannya.

Terdahulu dalam ucapan penutupnya, Zahid berkata Umno akan memberi tumpuan untuk menjadi pembangkang yang kuat.

Bagaimanapun, beliau berkata Umno mesti terbuka kepada sebarang kemungkinan untuk menjadi sebuah kerajaan, kerana apa sahaja boleh berlaku dalam sesebuah pilihan raya kecil.

"Jika kita kuat sebagai gagasan pembangkang bersama-sama parti lain, Insya-Allah dengan jumlah dukungan pengundi yang telah memberikan undi kepada calon Umno-BN dicampur dengan rakan kita dari barisan pembangkang yang menjadi sebahagian daripada gagasan kita, insya-Allah angka itu memperlihatkan terdapat lebih daripada lima juta pengundi sedia ada bersama dengan kita," kata Zahid.

Zahid berkata jumlah itu mungkin lebih tinggi dengan mengambil kira sokongan pengundi yang merasa ditipu oleh kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Saya lihat bahawa ada yang mengatakan bahawa government in waiting tidak boleh dilaksanakan tetapi harus difahami bahawa tidak ada spesifik timeline, tempoh waktu yang khusus.

"Kerana kita harus meletakkan harapan itu sama ada ia berlaku untuk lima tahun akan datang atau esok, kita harus tidak jumud. Dalam sesebuah parti itu tidak statik, ia adalah dinamik.

"Kita tidak tahu apa akan berlaku dalam mana-mana PRK, kita tidak tahu atau kita tidak juga akan tahu apa akan berlaku selepas satu persatu PRK," katanya.

Idea Zahid mengenai kerajaan perpaduan itu pertama kali didedahkan dalam temu bual bersama NSTP Khamis lalu.

Malam tadi dalam ucapan dasarnya, beliau berkata anggota Umno perlu bersabar kerana sedikit masa lagi parti itu akan menjadi rebutan akibat pergeseran dalam Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, terdapat kritikan yang kuat dari dalam Umno mengenai pelan kerajaan perpaduan berkenaan termasuk daripada timbalannya sendiri, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad dalam ucapan penutupnya, memberitahu perwakilan supaya berhenti bermimpi mengenai kerajaan perpaduan.


NADIREFORMASI
http://nadireformasi.blogspot.com/

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.